Ads 468x60px

Refleksi Kendiri

Assalammualaikum dan salam sejahtera.

Syukur alhamdulillah kerana dengan izinNya saya dapat menyempurnakan sesi pembelajaran dan tugasan  bagi subjek ORGANISASI DAN PENTADBIRAN PUSAT SUMBER (MPT1233-01) selama 12 minggu bersama DR. Hasnah Mohamed dan rakan-rakan sekelas yang lain iaitu Kak Zura, Kak Azizah, Kak Aminah, Mas, Afi dan Adwa. (kelas kami semua gegurl ..hehehe). Saya juga berasa sangat bangga kerana dapat mengikuti kelas ini sehingga tamat bersama Dr. Hasnah serta rakan-rakan sekelas.

Dalam subjek ini, saya dan rakan-rakan telah didedahkan dengan pelbagai isu-isu yang melibatkan pengurusan dan pentadbiran pusat sumber sama ada pusat sumber sekolah, perpustakaan desa, perpustakaan awam mahupun perpustakaan negeri. Antaranya ialah kelemahan yang terdapat dalam sistem pengurusan Pusat Sumber di sekolah. Dengan mempelajari subjek ini, saya dapat mempelajari cara-cara pengurusan Pusat Sumber yang betul dan berkesan. Antaranya prinsip-prinsip pengurusan (teori dan model), kemahiran pengurus pusat sumber, kemahiran yang betul dalam berkomunikasi antara satu sama lain, cara-cara menguruskan perbelanjaan, cara-cara membuat perancangan, serta latihan dan pembangunan staf.

Semasa sesi perbincangan di dalam kelas, Kak Aminah (seorang guru sekolah) banyak mendedahkan isu-isu semasa yang berlaku di dalam Pusat Sumber Sekolah beliau. Bagi 'fresh graduate' dan belum pernah mengajar di sekolah seperti saya, sesi perbincangan ini banyak membantu saya dalam mengetahui isu-isu dan permasalahan yang sedang berlaku di Pusat Sumber Sekolah.

Manakala Kak Zura dan Kak Azizah ( yang berkerja di Perpustakaan ) pula banyak berkongsi pengalaman, permasalahan dan cara-cara pengurusan serta pentadbiran di Perpustakaan yang mereka bekerja. Secara tidak langsung, hal banyak membuka minda saya tentang hal-hal yang berkaitan dengan Perpustakaan.

Setiap minggu, setiap pelajar akan membentangkan tajuk yang berbeza-beza secara individu memandangkan bilangan pelajar yang sedikit. Hal ini secara tidak langsung melatih kami, para pelajar Sarjana meningkatkan kemahiran dan keyakinan masing-masing dalam cara-cara membuat pembentangan yang menarik kepada pendengar. Dr. Hasnah juga menegur setiap perbentangan yang dibuat. Beliau banyak memberi panduan, tunjuk ajar dan nasihat yang bermanfaat kepada kami , serta  cara-cara perbentangan yang menarik.

Selain itu, kami turut diberi dua tugasan. Dalam Tugasan 1, kami telah diberi beberapa set soalan yang perlu dijawab setelah membuat lawatan ke pusat sumber ( boleh melibatkan mana-mana pusat sumber di seluruh Malaysia). Setelah itu, kami akan membentangkan hasil tinjuan yang dibuat secara individu. Melalui perkongsian ilmu ini, secara tidak langsung saya dapat menambahkan pengetahuan saya dalam dalam bidang pentadbiran dan pengurusan pusat sumber. Selain itu, masalah dan kekangan-kekangan yang berlaku di pusat sumber juga dapat di terokai dan pensyarah membincangkan sebab, kesan dan jalan penyelesaian kepada masalah yang timbul itu. Dalam Tugasan 2 pula kami diberi tajuk, dan perlu membentangkan di depan rakan-rakan yang lain. Setelah itu, kami ditugaskan untuk membuat laporan pembentangan tersebut.

Di samping itu, setiap minggu juga kami akan membuat aktiviti di dalam kelas memandangkan kelas berlangsung selama 3 jam. Aktiviti yang dijalankan ini dapat menghilangkan rasa bosan kami kerana berada dalam kelas untuk jangka masa yang lama. Aktiviti yang dijalankan ini melibatkan perbincangan antara 2-3 orang pelajar. Dr. Hasnah akan memberi soalan dan isu yang perlu dibincangkan. Setelah itu, kami akan membentangkannya dalam bentuk powerpoint di hadapan pelajar yang lain. Setelah itu, hasil pembentangan kami akan di masukkan ke dalam Dropbox MPT1233.

Pada pendapat saya, pendekatan serta cara pengajaran dan pemberlajaran yang digunakan oleh Dr. Hasnah adalah sangat efektif, menarik dan sesuai dengan subjek yang melibatkan konsep Pusat Sumber @ Perpustakaan ini. Beliau juga banyak menekankan dan menitiberatkan disiplin kami sebagai seorang pelajar.

Saya mencadangkan beliau terus mengaplikasi gaya pembelajaran ini kepada sesi yang akan datang. Pada pendapat saya, subjek ini akan lebih menarik jika membuat lawatan ke Perpustakaan untuk melihat sendiri persekitaran dan pentadbiran yang di jalankan oleh mereka.

Akhir kata, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Dr. Hasnah kerana telah memberi ilmu dan tunjuk ajar yang berguna kepada saya dan rakan-rakan. Semoga ilmu yang baik ini dapat saya menfaatkan untuk menjadi seorang pendidik kelak. Amin.


Sekian dan wasalam.

No comments:

Post a Comment